Menurut Abdul Rasid dan Arba'ie Sujud (2001), Kementerian Pelajaran Malaysia dahulu dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan komputer sebagai salah satu bentuk pendidikan moden pada abad ke-21. Langkah ini mensasarkan hampir keseluruhan sekolah akan menggunakan teknologi ini dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini menjadi petanda awal kepada transformasi positif dalam bidang pendidikan yang akan berlaku. Guru dan buku teks akan memainkan peranan sebagai pemberi maklumat sama ada dalam bentuk fizikal ataupun dalam bentuk maya. Tambahan lagi, guru yang mengaplikasikan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah adalah berpotensi memberikan bentuk pengajaran yang kreatif serta inovatif.
Kajian-kajian terdahulu menunjukkan bahawa sejumlah besar projek pendidikan berbantukan komputer dan penyelidikan empirikal di Amerika Syarikat dan di negara-negara lain telah membuktikan bahawa komputer berupaya memberikan pengajaran yang berinovatif dan efektif.
(Peterson dan Peterson, 1983; Chen, 2012). Pembelajaran melalui komputer bukan lagi merupakan suatu bidang baru dalam sistem pendidikan negara. Sebagai contoh, projek perintis Sekolah Bestari telah dimulakan sejak awal tahun 1999 di 88 buah sekolah terpilih ( Bahagian Teknologi Pendidikan, 2013).
Konsep sekolah bestari ini masih lagi mengekalkan konsep pembelajaran secara konvensional , di mana guru dan buku teks berperanan sebagai pemberi maklumat kepada pelajar. Namun,
keistimewaan sekolah bestari dapat dilihat dari aspek penggunaan teknologi yang lebih giat sama ada dalam bentuk maklumat maya ataupun fizikal. Ini termasuk aspek mengaplikasikan peralatan teknologi komunikasi atau sistem rangkaian elektronik dan komputer yang digunakan untuk mengumpul, menyimpan, memproses, menyalurkan dan menyampaikan maklumat kepada pelajar.
Semenjak konsep Sekolah Bestari diperkenalkan, pembelajaran berpandukan perisian kursus multimedia telah mula berkembang dan digunakan secara meluas ( Siti Fadzilah Mat Noor dan Shereena Mohd Arif, 2002). Pendekatan cara pembelajaran berasaskan teknologi multimedia ini telah membantu menaiktaraf imej sistem pendidikan di negara kita. Kehadiran teknologi seperti multimedia dapat merubah teknik pengajaran dan pembelajaran serta interaksi antara guru dan pelajar. Penglibatan teknologi multimedia mampu memuatkan bahan-bahan animasi, video, audio, dan bahan interaktif yang membenarkan pelajar berinteraksi dengan aplikasi. Hal ini dapat meransang kepelbagaian stail pembelajaran serta menarik minat pelajar untuk lebih fokus.
Mulai Januari tahun 2011, konsep Sekolah Bestari mula diperluas ke semua sekolah di seluruh negara di bawah program 1BestariNet (Bahagian Teknologi Pendidikan, 2013). Beberapa inovasi baru diperkenalkan di bawah 1BestariNet termasuk pengenalan kepada Virtual Learning Environment (VLE). Melalui aplikasi ini, guru-guru dan pelajar mahupun pentadbir sekolah boleh mewujudkan satu ekosistem pembelajaran berbentuk bilik darjah secara maya. Di sana para pelajar dan guru boleh menjalankan aktiviti perbincangan, berkongsi maklumat, memberikan tugasan, memuat turun, memuat naik bahan pembelajaran, nota, audio, video, gambar dan sebagainya.
Apakah yang sebenarnya berlaku di sekolah-sekolah terhadap penggunaan bahan multimedia dalam kalangan guru-guru? Adakah ia mempunyai hubung kait dengan sikap guru? Atau adakah terdapat perkaitan antara beban tugas guru dengan tahap pengintegrasian ICT di sekolah sehingga guru tiada masa untuk merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas? Atau guru-guru tidak mempunyai kemahiran dalam penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas? Rumusan berdasarkan kajian-kajian lepas, boleh dikatakan bahawa kebanyakan guru mempunyai sikap yang positif terhadap ICT, namun mereka mempunyai tahap kemahiran yang sederhana sahaja dalam mengaplikasikan bahan multimedia semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
Meninjau kajian terdahulu secara lebih dekat lagi, salah satu kajian yang dijalankan oleh Nur Jihatie (2007), mendapati guru-guru sekolah menengah mempunyai tahap kemahiran peringkat asas sahaja dalam penggunaan komputer. Manakala kajian sikap terhadap ICT pula, dapatan oleh Mohd Arif Ismail dan Paridon Sahid (2007) menunjukkan sikap guru-guru terhadap ICT sangat positif dan mereka berminat untuk menguasai kemahiran ICT. Persoalan yang utama di sini, apakah isu utama yang berkaitan dengan bahan multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran? Dan apakah yang menyebabkan penggunaan bahan multimedia yang dibangunkan tidak kekal lama? Adakah ia disebabkan oleh sikap, kemahiran, atau sokongan pentadbir seperti yang telah dibincangkan sebelum ini?
Namun begitu, kemunculan teknologi baru ini bukan bermakna bahawa multimedia mengambil alih 100 peratus proses pengajaran secara tradisional dan mendominasi kurikulum yang sedia ada. Menurut Sifoo (2003), penggunaan multimedia di dalam bidang pendidikan seharusnya tidak mendominasi kurikulum sedia ada, tetapi ia menjadi sebagai bahan tambahan yang memperkukuhkan lagi kurikulum. Daripada pendapat ini, boleh disimpulkan bahawa multimedia berperanan penting sebagai Alat Bantu Bahan Mengajar (ABBM), namun ia tidak seharusnya mendominasi kurikulum yang sedia ada. Ini kerana, kita harus sedar bahawa komputer atau teknologi dikhuatiri tidak mampu untuk mengawal emosi pelajar dan ia hanya memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Isu dan persoalan yang menjadi tanda tanya kepada pengamal teknologi pendidikan ialah, mengapa terlalu sukar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia atau Bahagian Teknologi Pendidikan untuk menyebarkan sesuatu inovasi yang dibangunkan? Kajian yang dilakukan pihak kementerian mendapati bahawa bukan isu penyebaran teknologi yang menjadi perkara pokok, malah sikap sesetengah pihak yang mungkin tidak menerima inovasi secara positif, khususnya sesetengah golongan pendidik. Dapatan menunjukkan bahawa beberapa buah sekolah yang masih tidak menggunakan bahan pengajaran multimedia yang dibekalkan oleh pihak kementerian (Bahagian Teknologi Pendidikan, 2005). Dari hasil pemantauan didapati pihak sekolah tidak mengeluarkan bahan multimedia dari kotak yang telah dibekalkan oleh pihak kementerian. Tambahan lagi, ada dalam kalangan guru yang tidak mengetahui tentang kewujudan perisian multimedia yang dibekallkan oleh kementerian di sekolah.